BUTTERWORTH 16 Mac - Kerajaan Pusat memperuntukkan dana sebanyak RM1.5 juta kepada Koperasi Pandai Besi Pekan Darat Seberang Perai Berhad di sini bagi penjenamaan semula produk pertukangan besi tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, ini kerana perusahaan tersebut berupaya memberi impak sosioekonomi kepada penduduk setempat.
Katanya, peruntukan dana itu mampu menjadikan produk keluaran mereka berdaya saing ditambah pula dengan sistem pengurusan dan pemasaran yang sistematik.
"Perusahaan yang berusia 172 tahun itu mampu memberi pendapatan tinggi jika mereka rajin berusaha dan membuat penambahbaikan dalam aspek kualiti dan produktiviti serta menerokai pasaran yang lebih luas," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Warisan Pandai Besi Pekan Darat di sini hari ini.
Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, peruntukan itu akan disalur secara berperingkat kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sebagai agensi pelaksana bagi kerja menaik taraf bengkel, pembelian mesin baharu termasuk membiayai kursus-kursus berkaitan.
Katanya, sebuah galeri pameran juga akan dibina dalam tempoh terdekat supaya perusahaan itu dapat menjadi tarikan pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment