Rakyat Malaysia yang dikasihi,
Masanya telah tiba untuk kita membuat keputusan. Laluan demokrasi menetapkan bahawa masa depan negara ini berada dalam tangan rakyat. Kuasa rakyat itulah cerminan pilihan raya yang bebas dan adil.
Allahyarham ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein pernah berkata, "Tugas kamu kepada negara adalah untuk memenuhi amanah rakyat dengan segala daya upaya,"
Saya melangkah masuk ke bidang politik 37 tahun lalu dan ini adalah kali pertama saya memimpin gabungan BN untuk menghadapi pilihan raya umum. Ia menjadi satu cabaran besar dan tanggungjawab yang berat.
Rekod Kerajaan BN menunaikan janji cukup jelas. Daripada transformasi ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada menjunjung hak asasi manusia dan demokrasi, kita mara dengan penuh yakin dan mantap bagi mencapai liberalisasi yang lebih menyeluruh. Perubahan sebenar telah pun berlaku dan dirasai, tetapi perjalanan ke arah transformasi sepenuhnya akan mengambil masa.
Dasar Wawasan 2020 untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 dilancarkan pada 1991, dan selepas 22 tahun, saya gembira menyatakan bahawa dasar-dasar Kerajaan BN yang dirancang dengan berhemat dan prihatin itu telah meletakkan kita pada landasan ke arah mencapai Wawasan 2020.
Dalam kita menuju Pilihan Raya Umum Ke-13, saya, sebagai pemimpin BN, dengan rendah diri memohon mandat daripada anda untuk membawa Malaysia ke mercu kegemilangan baharu. Saya minta diberi peluang untuk memimpin sebuah Kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Sebagai Perdana Menteri Malaysia, mandat yang saya mohon ini amat penting demi kelangsungan dan kesinambungan. Kita perlu bergerak ke hadapan meninggalkan jalan mundur yang menghalang perpaduan, kestabilan, keharmonian serta kemakmuran. Kita mesti menolak pecah belah, kelembapan, pergolakan, kekacauan, perbalahan dan krisis.
Mandat daripada anda adalah sebuah janji yang membawa harapan, mandat untuk mencapai kecemerlangan bersama-sama sebagai satu bangsa, satu negara dan satu wawasan. Berilah peluang kepada saya untuk meneruskan khidmat bakti ini sedaya upaya saya
Saya ingin menyakinkan anda bahawa kegemilangan akan menyusul
Najib Razak
No comments:
Post a Comment